Pada zaman dahulu dalam golongan Bani Israil ada seorang ahli ibadat yang sangat tampan, kerjanya ialah membuat tas keranjang dari daun kurma dan menjualnya untuk mendapatkan hasil.Pada suatu hari ia berjalan dihadapan istana raja, kebetulan pekerja isteri raja melihat akan kecantikan rupa paras ahli ibadat itu, lalu ia pun memberitahu isteri raja tersebut, katanya:"Wahai permaisuri raja, daku lihat diluar sana ada seorang lelaki yang sangat cantik dan gagah orangnya sedang menjual tas keranjang."Apabila isteri raja itu mendengar akan kata-kata orang gajinya maka ia pun berkata:"Suruh orang itu masuk mengadapku."Lalu orang gaji itu pun pergi mendapatkan ahli ibadat itu seraya berkata:"Permaisuri raja perintah kamu mengadap."
Apabila sampai di hadapan permaisuri raja maka berkata permaisuri tersebut:"Letakkan semua keranjang itu dan pakailah pakaian ini".Isteri raja itu menyuruh orang gajinya mengambil minyak wangi, tujuan sebenar isteri raja tersebut adalah untuk memuaskan nafsu jahatnya.Apabila semua perintah isteri raja tersebut dilakukan oleh ahli ibadat tersebut maka berkata isteri raja itu:"Kamu jangan takut, aku akan memenuhi keperluan mu asalkan kamu sedia memuaskan nafsuku". Apabila ahli ibadat itu mendengar kata-kata yang keluar dari mulut isteri raja itu maka bergementarlah ia.Lalu ahli ibadat itu pun berkata:"Aku tidak akan sekali-kali melakukan perbuatan syaitan ini." Setelah mendengar pengakuan dari ahli ibadat itu maka isteri raja itu pun berulang kali memujuk ahli ibadat sehingga ia naik marah lalu berkata:"Baik!, kalau kamu tidak mahu memuaskan hajatku,kamu tidak boleh keluar dari sini!".
Sebaik saja isteri raja itu berkata maka semua pintu pun ditutup, apabila ahli ibadat melihat akan keadaan berikut maka ia pun berkata:"Wahai permaisuri raja, adakah tempat yang tinggi dalam istana ini?.Berkata isteri raja tersebut:"Ya, ada".Maka isteri raja tersebut mengarahkan orang gajinya menunjukkan tempat yang tinggi kepada ahli ibadat itu.
Apabila ahli ibadat itu naik ke atas tempat yang paling tinggi, ia melihat disekeliling dinding tersebut untuk mencari tempat kalau-kalau ada tingkap atau pintu untuk ia terjun, maka ternyata hancur segala harapanya dan berkata ia didalam hatinya:"Wahai jiwaku sejak 70 tahun kamu berusaha beramal dengan keredhaan Allah, Tuhan yang maha pemurah,Dan siang malam kamu berusaha untuk itu, kini kau tiba-tiba akan rosak dalam sesaat,demi Allah kau khianat jika kamu rosakkan amal yang kamu usahakan begitu lama."
Oleh kerana tidak ada peluang untuk ahli ibadat itu melepaskan diri maka ia pun mengambil keputusan untuk membunuh diri, apabila ahli ibadat itu hendak terjun dari menara tinggi itu untuk membunuh diri maka Allah s.w.t. berkata kepada malaikat Jibrail a.s.:"Wahai jibrail Labbaik wasa daika."Firman Allah s.w.t."Hambaku itu hendak membunuh diri kerana takut akan murkaku dan takut berbuat dosa kepada ku, oleh itu kamu hamparkanlah sayap kamu, jangan sampai ia binasa."Apabila ahli ibadat itu terjun maka malaikat Jibrail a.s. pun menghamparkan sayapnya lalu jatuhlah ahli ibadat itu diatas sayap malaikat Jibrail a.s. tanpa mengalami apa-apa kecederaan dan malaikat Jibrail a.s. pun meletakkan ahli ibadat itu ke atas tanah sebagaimana seorang ibu meletakkan anaknya.
Setelah ia diselamatkan maka ia pun pulang ke rumah, sampai di rumah isterinya bertanya:"Manakah wang hasil jualan tas keranjang?"Berkata ahli ibadat itu:"Tidak ada wang hari ini."Berkata isterinya lagi:"Kalau tidak ada wang, apa kita nak makan hari ini!".Berkata ahli ibadat itu lagi:"Adalah lebih baik kita nyalakan api dapur, kalau tidak tentu tidak enak dipandang oleh jiran kita dan kalau kita tidak menyalakan dapur, jiran kita akan risau memikirkan kita."
Isteri ahli ibadat itu taat pada kata-kata suaminya maka ia pun menyalakan dapur dan sesudah itu ia pun duduk dekat dapur tersebut, kemudian datang seorang jiran mereka meminta api, ia menyuruh jirannya itu mengambil sendiri api itu.Apabila jirannya hendak pulang setelah mengambil api, maka jirannya berkata:"Mengapa kamu duduk saja , padahal roti kamu itu sudah masak".Isteri ahli ibadat itu terkejut apabila mendengar kataa jirannya, lalu ia memandang ke dapur dan ternyata memang benar seperti yang dikatakan oleh jirannya, kualinya itu penuh dengan roti. Isteri ahli ibadat itu pun memindahkan ke dulang dan memberikan pada suaminya sambil berkata:"Tuhanmu tidak akan berbuat demikian, melainkan ia sayang padamu oleh itu mintalah padanya supaya dilapangkan rezeki kita sepanjang baki umur kita."Berkata ahli ibadat itu kepada isterinya:"kita sabar sajalah atas penderitaan ini."
Oleh kerana isteri ahli ibadat itu selalu mendesaknya supaya memohon kepada Allah s.w.t. maka ia pun bersetuju untuk memohon kepada Allah s.w.t. Ahli ibadat itu pun bangun di waktu malam dan sembahyang meminta kepada Allah s.w.t. dengan doa:"Ya Allah, isteriku meminta kepadaku, oleh itu berikanlah rezeki yang agak lapang untuk menghabiskan baki sisa umur ini."
Selesai saja ahli ibadat itu memohon kepada Allah s.w.t. maka dengan tiba-tiba terbukalah atap rumah ahli ibadat itu dan turunlah sebuah tangan memberikan yaqud yang menerangkan semua ruang rumah ahli ibadat itu seperti sinar cahaya matahari di tengahari, ahli ibadat itu pun mencubit kaki isterinya yang sedang tidur disebelahnya sambil berkata:"Terimalah permintaanmu itu."
Apabila mendengar kata-kata suaminya, maka isteri ahli ibadat itu pun berkata:"Jangan terburu-buru, apakah kamu gerakkan aku untuk ini, dengarlah pengakuanku ini, aku baru saja bermimpi melihat beberapa kursi yang mentaburkan permata yaqud dan zabarjad, dalam pada itu aku melihat ada satu yang berlubang, maka aku pun bertanya mana yaqud ini, maka jawabnya : itulah yang kamu hajatkan di dunia." Lalu aku berkata:"Aku tidak berhajat kepada sesuatu yang akan mengurangi akan bahagianmu atau tempat dudukmu dan kini mintalah kepada Allah s.w.t. mengembalikan semula".lalu berdoalah ahli ibadat itu, maka kembalilah tangan yang menghulurkan itu dengan permata yaqudnya.
Isteri yang baik akan sentiasa mendengar cakap suaminya dan suami yang baik akan sentiasa bertolak ansur dalam rumahtangganya.